SHAH ALAM – Polis Selangor mendedahkan sebanyak 223 kemalangan direkodkan berpunca daripada keadaan fizikal jalan raya termasuk jalan berlubang dan rosak akibat pembinaan sepanjang tahun 2018 hingga 2020.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, berdasarkan statistik itu mendapati sebanyak 148 daripadanya mengakibatkan kemalangan maut.
Katanya, ini membabitkan penunggang motosikal sebanyak 117, kenderaan (26) dan lori (6).
“Namun ditegaskan, kemalangan itu juga berlaku disebabkan kecuaian pengguna lalu lintas termasuk memandu melebihi had laju dan tidak boleh menyalahkan 100 peratus disebabkan faktor fizikal jalan.
“Kawasan pembinaan contohnya telah diletakkan kon dan tanda jalan supaya berwaspada dan memandu secara perlahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Beliau memberitahu, Sabak Bernam dan Klang merupakan lokasi kerap berlaku kemalangan berikutan pembinaan jalan dan laluan kenderaan berat dengan pengguna dinasihatkan berhati-hati terutama pada waktu malam susulan kekurangan pencahayaan.
Azman menegaskan pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkenaan supaya melakukan pemeriksaan dan membaiki jalan-jalan tersebut.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, kemalangan berbasikal menyumbang sebanyak 299 kes dengan hanya enam kes melibatkan basikal riadah bagi tempoh sama.
“Secara keseluruhan, jumlah kes itu disebabkan masih ramai pendatang asing menggunakan basikal untuk ke tempat kerja mereka di negeri ini,” katanya. -K!ONLINE