fbpx

10 penyamun ganas Geng Casa tersungkur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein menunjukkan parang panjang digunakan Geng Casa tersebut.

SHAH ALAM – Sekumpulan penjenayah ganas dikenali Geng Casa yang aktif melakukan samun pada awal pagi sejak setahun lalu tersungkur selepas ditahan dalam operasi di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

Tangkapan ke atas 10 ahli termasuk seorang wanita berusia 23 hingga 46 tahun itu dilakukan sejak 3 hingga 7 Oktober lalu.

Turut ditangkap ketua kumpulan itu yang berusia dalam lingkungan 30-an yang mempunyai 14 rekod jenayah termasuk dua kes bunuh dan satu cubaan bunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kumpulan penjenayah itu yang mempunyai sistem jenayah terancang kali terakhir melakukan samun di banglo milik ahli perniagaan di Pandamaran, Klang.

Kejadian pada pukul 5 pagi , 5 Oktober lalu itu menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM600,000.

“Mereka (penjenayah) ini amat berbahaya dan terdiri daripada 10 hingga 12 suspek yang bertindak lebih daripada samun iaitu mencederakan mangsa sekiranya digugat.

“Kita mengikuti kumpulan ini sejak awal tahun dan mereka terlibat jenayah di Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menuurt beliau, berdasarkan modus operandi, kumpulan tersebut mengenal pasti kediaman yang mudah dipecah masuk.

“Mereka akan masuk (samun) pada awal pagi apabila mangsa membuka pintu dan sebelum menyerbu dengan parang.

“Geng ini akan mengikat mangsa dan menggeledah rumah sebelum melarikan barangan berharga,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, geng tersebut dipercayai terlibat dalam kongsi gelap dan profesional dengan setiap ahlinya mempunyai peranan masing-masing termasuk merisik, meninjau dan bertindak sebagai ‘jaga air’ (pantau kawasan ketika jenayah dilakukan).

Hussein menjelaskan, hasil penahanan 10 suspek itu, polis merampas pelbagai peralatan pecah rumah termasuk parang sepanjang 79 sentimeter.

“Kita juga mendapati barangan sembahyang yang disamun di Klang dibuang dalam paya sementara menunggu pembeli. Semakan mendapati mereka terlibat dalam enam kes di Klang Selatan dan tujuh kes di Negeri Sembilan,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Polis kini mengesan empat lagi ahli kumpulan itu yang dikategorikan sebagai penjenayah berbahaya.

Kosmo! pada 4 Oktober lalu melaporkan sebuah keluarga menempuh detik menakutkan apabila banglo mereka di Pandamaran dimasuki penjenayah berparang yang melarikan wang dan barangan bernilai RM600,000.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera akibat ditetak pada bahunya oleh suspek. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI