fbpx

Hattan, Hazama, Black masuk geng ‘hitam manis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HATTAN, Hazama dan Black akan menghiburkan peminat dalam persembahan penuh warna serta emosi menjelang 8 Februari tahun depan.

INI sejenis amaran buat peminat agar bersiap siaga untuk sebuah malam luar biasa berjudul Hitam Manis yang bakal menggamatkan pentas dengan persembahan hebat tiga penyanyi berkaliber, Datuk Hattan, Hazama dan Black.

Konsert yang bakal diadakan pada 8 Februari 2025 di Plenary Hall, KLCC tersebut dijangka menjadi acara muzik memukau dengan gabungan elemen nostalgia, rock, vokal mantap ketiga-tiga bintang.

Menariknya, konsert Hitam Manis ini menjadi persembahan berskala besar pertama bagi membuka tirai tahun baharu 2025 yang dibawakan secara eksklusif oleh Reacch Events selaku penganjur.

Konsert Hitam Manis menjanjikan sebuah persembahan yang dinamik, menampilkan gabungan lagu-lagu hit daripada setiap penyanyi, serta kolaborasi eksklusif yang julung kali diadakan.

Hattan, legenda muzik rock Malaysia, dikenali dengan lagu-lagu ikonik seperti Biso Bonar, Mahligai Syahdu, dan Memburu Rindu bakal membawa semangat rock klasik penuh bertenaga.

Hazama pemenang bintang daripada Akademi Fantasia dan penyanyi yang terkenal dengan vokal uniknya, bakal menggegarkan pentas seleksi hit termasuk Relakan Jiwa dan Malaikat.

Sementara Black yang tidak asing lagi dengan suara lantang dan gaya persembahan yang energetik, cukup dikenali dengan lagu-lagu hitnya seperti Sofea Jane, Teman Pengganti dan Anugerah Terindah.

Malam epik

Hattan yang sudah lama berada dalam industri, meluahkan kegembiraannya untuk kembali ke pentas bersama Hazama dan Black.

“Konsert ini sangat istimewa kerana menggabungkan elemen muzik berbeza daripada generasi yang berbeza. Saya yakin peminat akan terhibur dan merasai kelainan dalam setiap persembahan,” katanya.

Bagi Hazama yang terkenal dengan kelainan muzik dan gayanya yang tersendiri, konsert berkenaan bakal menjadi bukti keharmonian artis beza generasi.

“Saya teruja dapat bersama-sama dengan Hattan dan Black. Ini peluang istimewa untuk memberikan yang terbaik kepada peminat setia,” katanya.

Begitu juga dengan Black dengan kehebatannya dalam vokal dan persembahan, menambah bahawa malam persembahan kelak akan menjadi perjalanan yang epik.

“Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu sambutan muzik yang akan menyentuh hati peminat. Kami tidak sabar untuk berkongsi pentas dan mencipta kenangan bersama,” katanya.

Konsert Hitam Manis dijangka berlangsung selama dua jam dan menawarkan pelbagai segmen menarik, termasuk persembahan solo, duet, serta gabungan eksklusif antara Hattan, Hazama dan Black.

Dengan kepelbagaian gaya muzik yang ditawarkan, konsert dijangka menarik perhatian seluruh peminat muzik tanah air. Tiket-tiket konsert kini boleh dibeli menerusi laman web www.ticket2u.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI