fbpx

Indeks Membaca Kebangsaan, pantau trend membaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Perpaduan mengesyorkan pembangunan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) untuk melihat trend membaca rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, IMK adalah satu cadangan inisiatif yang perlu diwujudkan bertujuan mengukur pencapaian pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan dan Dasar Galakan Membaca.

“IMK juga bertujuan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh tentang tabiat membaca, jenis bahan bacaan yang diminati dan frekuensi membaca di kalangan rakyat Malaysia.

“Indeks ini dilihat dapat membantu pihak berkaitan dalam merancang strategi dan program yang berkesan untuk meningkatkan budaya membaca dalam masyarakat,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, terdapat lima keperluan untuk IMK, yang pertamanya adalah, meningkatkan Literasi di mana IMK membantu mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian untuk meningkatkan kemahiran membaca dalam masyarakat.

Keperluan kedua adalah mengenai Perancangan Pendidikan, data daripada IMK boleh digunakan oleh kerajaan dan institusi pendidikan untuk merancang program literasi yang lebih efektif.

“Ketiga adalah, Promosi Minat Membaca bagi menggalakkan masyarakat untuk membaca melalui kempen dan inisiatif yang berfokus pada meningkatkan akses kepada bahan bacaan.

“Keempat Penilaian Program untuk menilai keberkesanan program literasi dan membaca yang telah dilaksanakan dan terakhir adalah sokongan untuk Pembuat Dasar untuk memberikan panduan kepada pembuat dasar dalam merumuskan strategi yang sesuai untuk meningkatkan tahap literasi,” katanya.

Aaron Ago turut turut memaklumkan bahawa ketika ini IMK dalam proses perancangan dan memerlukan penelitian bagi memastikan indeks yang dihasilkan mampu memberikan gambaran yang menyeluruh dan tepat berkenaan tabiat membaca rakyat Malaysia.

“Melalui penggunaan IMK, diharapkan tahap literasi dan minat membaca dalam masyarakat dapat ditingkatkan, yang seterusnya akan menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI