fbpx

4 termasuk Inspektor ditukar kes parti dalam IPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Tiga anggota dan seorang pegawai kanan polis ditukarkan serta-merta ke kontinjen lain susulan kes berparti di pejabat bahagian siasatan jenayah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor.

Parti tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi, 28 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati seorang anggota berpangkat koperal membawa masuk empat individu termasuk seorang lelaki awam ke pejabat.

Katanya, perbuatan itu jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan mana-mana orang awam dibawa masuk ke pejabat tanpa urusan rasmi.

“Dalam insiden yang disebut kononnya parti itu termasuk mendengar muzik dan ada makanan sikit.

“Jadi, ini tindakan dalaman dan tukar anggota berpangkat koperal keluar dari (kontinjen polis) Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau menegaskan, tiga lagi penyelianya yang berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar dan Inspektor turut ditukarkan daripada kontinjen Selangor.

Hussein menjelaskan, tindakan tersebut dibuat mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.

“Semua ditukarkan…ada yang pergi (dipindahkan) ke Johor dan Kelantan serta-merta,” katanya.

Beliau menegaskan, tangkapan ke atas tiga anggota polis dari IPD Kajang yang dipercayai positif dadah berpangkat rendah, bukannya ketua balai.

“Ketiga-tiga anggota ini juga ditukar ke bahagian pengurusan serta-merta dan akan diambil tuduhan di bawah jenayah dan tatatertib,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI