DUNGUN – Mangsa banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun cemas apabila pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Shukor dekat sini turut dinaiki air hari ini.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Shukor, Tengku Md. Hamdan Tengku Mahmud berkata, PPS berkenaan mula ditenggelami banjir pada pukul 7 pagi.
Beliau berkata, paras banjir meningkat mendadak sehingga empat meter berikutan hujan lebat bermula pukul 3 pagi.
“Pada mulanya 88 orang mangsa banjir berpindah ke Sekolah Kebangsaan Shukor dekat sini tetapi PPS baharu itu juga dinaiki air tidak lama kemudian.
“Kini kami terpaksa menumpang teduh sementara di rumah beberapa penduduk lain yang terletak di kawasan lebih tinggi sementara menunggu bantuan tiba,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Tengku Md. Hamdan berkata, banjir menimpa Kampung Shukor tersebut amat buruk dan menyamai yang pernah berlaku pada tahun 2014.
Tambah beliau, setakat ini, 20 buah rumah telah ditenggelami banjir sehingga ke paras bumbung. – K! ONLINE