fbpx

Disaman gara-gara nombor plat kecil daripada syiling lima sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiz nombor pendaftaran motosikal yang didapati lebih kecil daripada syiling lima sen dalam Op Bersepadu Motosikal di Kangar, malam tadi.

KANGAR – Polis mengesan pelbagai kesalahan trafik termasuk menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi iaitu bersaiz lebih kecil daripada syiling lima sen dalam Op Bersepadu Motosikal di sini semalam.

Operasi itu dilakukan dari pukul 4 petang semalam hingga pukul 4 pagi tadi di Jalan Kuala Perlis-Changlun, Jalan Pesisir Pantai Kuala Perlis dan Jalan Kurong Tengar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Md. Yusop berkata, dalam operasi itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kangar memeriksa 580 motosikal dan mengeluarkan sebanyak 561 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 135 motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan teknikal dan pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi.

“Antara kesalahan yang paling banyak dikesan termasuk tiada lesen memandu, penggunaan nombor plat tidak mengikut peraturan dan pengubahsuaian ekzos,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, polis akan terus mengadakan operasi seperti itu bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain.

Tambahnya, pihak polis mahu mendidik penunggang motosikal agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Dalam pada itu, operasi tersebut turut membawa kepada penahanan dua individu atas kesalahan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan jenayah dadah.

“Kedua-dua suspek itu disiasat di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana didapati berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan oleh pihak polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI