SHAH ALAM – Sentiasa mendahulukan keluarga bekas suami, pelakon Nur Fazura terkilan apabila mentuanya langsung tidak bertanya khabar ketika kemelut rumah tangganya dengan Fattah Amin hangat diperkatakan.
Begitupun kata Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, dia sudah memaafkan individu yang dihormatinya itu.
“Saya memang sayangkan keluarga mentua macam keluarga saya sendiri.
“Tapi saya agak terkilan langsung tiada di antara mereka yang hubungi untuk bertanya khabar saya dan Fatima.
“Apa pun saya sudah maafkan mereka,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.
Mahligai yang dibina Fazura dan Fattah selama tujuh tahun akhirnya terlerai pada pukul 9.45 pagi tadi selepas pelakon filem Pendekar Awang melafazkan cerai talak satu terhadapnya.
Pada prosiding kedua permohonan perceraian diajukan Fazura, aktres tersebut mengesahkan spekulasi bekas suaminya itu curang selain culas memberikan nafkah kepadanya dan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya, 4.
Pada masa sama, penyanyi lagu Sayangi Dirimu itu turut mengakui tidak menunjukkan perasaan sebenar kepada umum biarpun tertekan dengan situasi yang dilalui.
“Banyak usaha saya lakukan untuk selamatkan rumah tangga. Sebab lama saya bertahan cuma tidak tunjuk di sosial media.
“Orang nampak saya gembira tetapi Allah sahaja tahu mental saya tertekan,” ujarnya.
Sejak berita permohonan cerai diajukannya pada 13 September lalu menjadi sorotan ramai, rata-rata peminat berharap mahligai mereka dapat dipertahankan.- KOSMO! ONLINE