LIPIS – Sebuah restoran ‘mamak’ di Bandar Baru Kuala Lipis di sini yang tular selepas pekerjanya dipercayai membersihkan periuk menggunakan penyapu diarah tutup selama 14 hari.
Difahamkan arahan penutupan selama 14 hari bermula petang semalam itu dikeluarkan selepas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemeriksaan mengejut susulan aduan orang ramai.
Selain itu pihak KKM turut membuat pemeriksaan di bahagian penyimpanan makanan di premis makanan berkenaan.
Sebelum ini, tular rakaman di media sosial memaparkan aksi seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah kedai makan di sini membersihkan periuk menggunakan penyapu.
Klip video berdurasi dua saat itu yang dimuat naik di laman Facebook Komuniti Anak-Anak Lipis pada Sabtu lalu menerima kritikan dan kecaman netizen. – KOSMO! ONLINE