KUDAT – Seorang wanita warga emas ditemui rentung selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Pituru di sini malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Lo Hiong Lan, 76, yang dipercayai tinggal bersendirian ditemui di ruang tamu sejurus api dipadamkan oleh anggta bomba dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Penguasa Bomba Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10.10 malam.
“Kebakaran melibatkan rumah dua tingkat yang terbakar sepenuhnya. Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan oleh orang kampung sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ishak memberitahu, masih terdapat bara api sebaik anggota bomba tiba di lokasi dan operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan sumber air tangki di kawasan rumah.
“Terdapat seorang mangsa ditemui rentung di kawasan rumah tamu ketika proses ‘overhaul’. Mayat warga emas itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE