fbpx

Penganjur ‘Hash House Harriers’ perlu diharamkan di Johor, Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. PUAD menggesa agar penganjur Program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi diharamkan beroperasi di Johor.

JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa penganjur program larian yang didakwa mempromosi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Kota Tinggi diharamkan beroperasi di Johor.

Menurut beliau, program sedemikian bukan mempromosikan Johor, sebaliknya merosakkan imej negeri ini.

“Buat apa bawa tradisi ‘Hash House Harriers’ di negara ini. Banyak budaya negara dan Johor yang boleh diguna untuk larian amal. Bukannya dengan berpakaian nampak punggung dan promosi LGBT.

“Sepatutnya ‘Hash House Harriers’ diharamkan terus jadi penganjur apa sahaja aktiviti di Malaysia khususnya di Johor. Itu bukan promosi Johor tapi menjahanamkan imej Johor Darul Ta’zim,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Puad, pihaknya juga tidak menerima alasan diberikan penganjur bahawa mereka terlepas pandang perkara tersebut sebelum tular di media sosial.

“Mana mungkin penganjur terlepas pandang. Sepatutnya mereka boleh nampak pakaian peserta dan boleh halang dari awal lagi penyertaan mereka atau ketika sedang berlari.

“Batalkan sahaja lesen mereka dan haramkan jadi penganjur masa akan datang. Memalukan,” tegasnya.

Kelmarin, tiga lelaki termasuk dua warga asing ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang berlaku semasa Program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar memberitahu kesemua mereka yang ditahan berusia antara 39 hingga 79 tahun.

Sebelum itu tular di media sosial aktiviti sedemikian yang disertai peserta berpakaian songsang dan juga separuh bogel.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI