fbpx

Mencari ketenangan di Pulau Bidan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

TERLETAK kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Alor Setar, daerah Yan di Kedah boleh dianggap asing pada sesetengah masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui bahawa daerah terkecil di negeri Jepalang Padi itu menawarkan pelbagai tempat pelancongan menarik kepada para pelawat.

Selain mempunyai pantai yang indah, pemandangan Gunung Jerai yang mempersonakan serta sawah padi menghijau, Yan juga memiliki beberapa buah pulau untuk dilawati.

Antara pulau menarik yang ditawarkan di daerah Yan adalah Pulau Bunting, Pulau Telor, Pulau Bidan dan Pulau Songsong.

Salah satu pulau yang semakin menjadi pilihan para pelancong adalah Pulau Bidan yang menawarkan suasana mendamaikan terutamanya kepada mereka yang ingin mencari ketenangan.

Salah seorang aktivis alam sekitar, Ahmad Fadhil Izharuddin berkata, Pulau Bidan menawarkan keindahan pantai yang memutih, lautan kebiruan dan pemandangan Gunung Jerai yang memukau.

“Keindahan yang terdapat di pulau ini mampu menjadi daya penarik kepada lebih ramai pelancong luar untuk bertandang ke sini.

“Pada pandangan saya, sebenarnya ramai juga yang mengetahui kewujudan Pulau Bidan, namun mereka tidak tahu kelebihan yang terdapat di pulau ini,” katanya ketika dihubungi Horizon baru-baru ini.

PARA pelawat boleh berkhemah di ruang atau tapak perkhemahan yang disediakan.

Buat masa ini, pelawat yang ingin bercuti di Pulau Bidan hanya boleh bermalam di dalam khemah di tapak perkhemahan disediakan oleh pihak berwajib.

Tapak perkhemahan tersebut dilengkapi kemudahan tandas, surau, bekalan air bersih dan lampu daripada tenaga solar.

Keseronokan berkhemah dalam suasana tenang di pulau inilah yang boleh ditonjolkan sebagai kelebihannya memandangkan nikmat seumpama itu mungkin sudah sukar dikecapi di pulau-pulau komersial lain yang dipenuhi pembangunan.

Ahmad Fadhil memaklumkan, Pulau Bidan tidak mempunyai kemudahan penginapan seperti calet, resort atau hotel untuk didiami para pelawat seperti mana kebiasaan pulau-pulau pelancongan lain.

“Pulau ini hanya ada kemudahan untuk aktiviti perkhemahan dengan kapasiti seramai 50 orang pada satu-satu masa disebabkan kemudahan fasiliti yang terhad. Jadi, mereka yang ingin menginap di pulau ini perlu bersedia untuk tidur di dalam khemah, bawa bekalan makanan dan peralatan masak sendiri,” terangnya.

Menurut Portal Rasmi Majlis Daerah Yan, Pulau Bidan juga sering menjadi pilihan kaki pancing yang berhasrat untuk memancing ikan.

Antara spesies ikan yang ada di dasar lautnya adalah ikan alu-alu, kerapu, pari, gelama, sotong, senangin dan tenggiri.

“Pulau Bidan juga mempunyai satu-satunya batu kapur formasi mahang. Lapisan batu kapur ini hadir dalam bentuk kanta berketebalan sekitar 60 meter di dalam batuan lumpur yang berusia 480 juta tahun.

“Fosil krinoid dan kemungkinan nautiloid berkerangka lurus yang ditemui menunjukkan enapan berlaku di laut lebih dalam. Geotapak ini mempunyai nilai saintifik bertaraf kebangsaan,” ujar kenyataan tersebut.

PULAU Bidan yang terletak di daerah Yan, Kedah sedia menerima kehadiran pelawat yang gemarkan panorama alam semula jadi.

Salah seorang pelawat, Shahrul Ambri Samsuddin, 34, berkata, pulau itu menawarkan pemandangan yang cukup memukau.

Dia yang berasal dari Yan Kecil memberitahu, persekitarannya yang sunyi dan jauh daripada hiruk-pikuk aktiviti manusia dapat memberi ketenangan kepada diri.

“Saya sangat teruja dapat bermalam di Pulau Bidan buat kali pertama. Sebelum ini, saya datang dan balik pada hari sama. Saya memilih berkhemah dengan bermalam di sini bersama seorang rakan.

“Ternyata Pulau Bidan menawarkan pengalaman berbeza berbanding pulau-pulau komersial lain. Pulau ini juga menyimpan sejarah yang masih belum diterokai oleh pihak luar,” jelasnya.

Perjalanan ke Pulau Bidan mengambil masa selama 15 minit dari Jeti Tanjung Dawai dan 35 minit dari Jeti Sungai Udang dengan harga sewaan bot antara RM400 hingga RM450. Perkhidmatan bot tersebut meliputi pakej menghantar dan mengambil pelawat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI