fbpx

Bola tampar angkat nama UncleTokok di UPSI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIF ANAS terkenal dengan nama UncleTokok dalam kalangan pengikut TikTok.

MINAT mendalam terhadap bidang sukan terutama bola tampar membuatkan jejaka tinggi lampai itu mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang tersebut.

Bagi Harif Anas Haikal Harif, 28, keputusannya menukar kursus perniagaan sewaktu diploma kepada Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak langsung tidak pernah dikesalkannya.

Buktinya, anak jati Yan, Kedah itu sering kali mewakili dan mengharumkan nama universiti dalam pelbagai kejohanan termasuk kejohanan bola tampar antara universiti awam pada Majlis Sukan Malaysia (Masum).

“Hampir setiap tahun saya mewakili UPSI untuk bertanding di kejohanan Masum. Ia telah memberi impak yang besar dalam membentuk disiplin sebagai atlet dan pelajar pada masa sama.

“Memori paling sukar dilupakan adalah ketika saya dan pasukan diberikan peluang bermain bola tampar dalam satu kejohanan berprestij di China beberapa tahun lalu,” katanya membuka bicara kepada iGen.

Berkongsi mengenai cabaran dilalui sebagai mahasiswa jurusan sains sukan, anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, kebanyakan pelajar yang mengambil jurusan tersebut adalah atlet.

Jelasnya, apabila seorang pelajar itu atlet, maka wujud konflik dan cabarannya.

“Semua mahu cemerlang di lapangan sukan yang diceburi, mengharumkan nama universiti di dalam sukan tersebut, selain menjadi pelajar cemerlang di bilik kuliah.

“Inilah cabaran paling besar yang kami hadapi. Bukan mudah, tetapi ini yang menguji tahap disiplin sebenar kita,” katanya.

HARIF ANAS (belakang, lima dari kanan) bergambar bersama rakan sepasukannya yang berjaya memenangi kejohanan bola tampar terbuka di UPSI baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pelajar semester akhir dan bakal graduan itu turut bijak mencari sumber pendapatan menerusi aplikasi TikTok sebagai hos dan pencipta kandungan.

Harif Anas yang dikenali pengikut dengan nama UncleTokok berkata, TikTok menjadi medium yang merubah dirinya daripada berperwatakan introvert (pendiam) kepada seorang yang yakin dan berani.

Ujarnya, sebelum mempunyai TikTok, dia seorang yang pemalu dan langsung tiada keyakinan bercakap di depan khalayak ramai.

“Sebelum saya mula buat live (siaran langsung) pada awal tahun ini, bercakap di hadapan orang ramai merupakan satu cabaran besar bagi saya.

“Apatah lagi merakam dan menyiarkan video diri sendiri.

“Jadi, menekan butang live buat kali pertama sangat menakutkan, tetapi saya bersyukur ia telah merubah segalanya.

“Penonton saya memainkan peranan besar dalam perjalanan ini.

“Sokongan mereka telah menggalakkan saya untuk terus live dan membantu membina keyakinan diri,” ujarnya yang kini mempunyai hampir 55,000 pengikut di TikTok.

Sementara itu, Harif Anas juga terkenal dalam kalangan pengikut menerusi penyertaannya dalam pertandingan PK dan sesi memasak spontan.

“PK Live Merdeka Madness yang saya sertai baru-baru ini merupakan satu persaingan yang begitu mencabar dan sengit.

“Menghadapi perlawanan secara langsung selama beberapa hari dan bersaing bersama pencipta kandungan berpengaruh lain bukan perkara mudah.

“Ia merupakan pengalaman berharga bagi saya,” katanya yang mengidolakan pempengaruh Khairul Aming dan Che Sayang.

Menutup perkongsian, Harif Anas merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang sama dan mahu bergelar tenaga pengajar atau guru Sains Sukan.

Tidak setakat itu, dia juga mahu menjadi pempengaruh terkenal, mengangkat jenama UncleTokok, sekali gus berjaya dalam bidang perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI