fbpx

Warga emas disyaki tembak penagih curi sawit direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sarudin (tengah) menunjukkan selaras senapang patah buatan Turkiye yang berjaya dirampas pada sidang media di IPD Selama hari ini. - Foto oleh WAT KAMAL ABAS / KOSMO!

LARUT – Lelaki warga emas direman tiga hari selepas disyaki melepaskan tembakan peluru penabur menggunakan senapang patah sehingga mencederakan kaki kiri seorang lelaki di Kampung Sumpit Beras Rantau Panjang Selama kelmarin.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, suspek berusia 62 tahun diberkas pukul 3 petang semalam dan dan dia dipercayai menggunakan selaras senapang patah buatan Turkiye serta melepaskan tembakan ke atas mangsa yang berusia 32 tahun.

“Mangsa bersama rakannya yang berusia 26 tahun disyaki menjalankan kegiatan mencuri sawit yang diusahakan oleh suspek dua hari lalu.

“Berikutan itu, mangsa dibawa rakannya ke Bahagian Kecemasan Hospital Selama bagi mendapatkan rawatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama hari ini.

Beliau berkata, suspek telah menunjukkan senjata api tersebut disembunyikan di dalam kebun yang mana ia dibalut dengan sehelai kain dan diletakkan di dalam guni plastik.

Katanya, siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang lesen pemilikan senjata api dan senapang patah itu dibeli daripada individu dikenalinya lebih 10 tahun lalu.

“Suspek juga pernah ditangkap polis atas memiliki senjata api bersama rakannya dan telah dilepaskan, manakala rakannya telah didakwa. Suspek hanya memiliki sebutir peluru penabur dan telah digunakan dalam kejadian dua hari lalu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Sarudin berkata, semakan ke atas mangsa dan rakannya pula mendapati, kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamin.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki diburu polis kerana melepaskan tembakan peluru penabur sehingga mendatangkan kecederaan pada kaki kiri seorang penagih di kawasan kebun kelapa sawit Kampung Sumpit Beras. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI