PETALING JAYA – XOX dan ONEXOX telah menganjurkan program pengagihan makanan bersempena perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia antara Kelab Bola Sepak Perak (PFC) dan Johor Darul Takzim (JDT).
Ia dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen ganjaran kesetiaannya untuk pelanggan yang paling konsisten dalam pembayaran dan setia di bawah pelan mudah alih khas ONEXOX dan PFC – The Bos Gaurus 50 (TBG50).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bobie Farid Shamsudin berkata, program ganjaran kesetiaan ini adalah tepat pada masanya bagi para peminat PFC yang sentiasa menyokong bukan sahaja pasukan tersebut tetapi juga dengan menjadi pengguna pelan TBG50.
“Program ini merupakan penghargaan yang tulus kepada pengguna yang setia menggunakan pelan dan perkhidmatan mudah alih ONEXOX.
“Kami melihat ini sebagai satu tahap kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam diri mereka terhadap kami sebagai penyedia perkhidmatan mudah alih pilihan mereka dalam satu tempoh jangka masa,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis pengagihan makanan baru-baru ini.
Bobie Farid menerangkan, pihaknya telah melakukan pelbagai program ganjaran kesetiaan sebelum ini dan kini perlu dilakukan dengan cara berbeza iaitu dengan mengedarkan barangan makanan.
Ini juga mengambil kira situasi ekonomi semasa dan cabaran yang dihadapi oleh ramai orang, walaupun dalam menyediakan keperluan asas seperti makanan.
Tambah beliau, ini adalah program ganjaran kesetiaan yang pertama dijalankan untuk tahun ini dan sejumlah peket beras seberat lima kilogram telah diagihkan kepada pelanggan setia pelan TBG50 yang telah membuat pembayaran tepat pada masa sekurang-kurangnya selama empat bulan.
XOX dan ONEXOX juga telah melanjutkan program ganjaran kesetiaan ini sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat (CSR), yang mana para pelanggan juga boleh memilih untuk mendermakan ganjaran mereka kepada badan amal sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat untuk memberi kembali.
Pelan TBG50 adalah antara salah satu pelan mudah alih XOX dan ONEXOX yang diperkenalkan untuk menyokong PFC.
Pelan mampu milik ini dilancarkan secara rasmi pada 29 Mac 2023, dipakejkan dengan data dan masa berbual tanpa had.
Sehingga hari ini, terdapat sejumlah 6,000 pengguna pelan TBG50 di seluruh Negara. -KOSMO! ONLINE