PETALING JAYA- Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan surat sokongan Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, beliau sudah menyemak dengan banyak pihak dan mendapati surat sokongan Zahid bertarikh 11 Oktober itu kepada Anwar yang didedahkannya adalah tulen.
“Dalam surat ini, antara perkara-perkara yang disebut menjatuhkan kerajaan yang sedia ada sekarang, menukar Perdana Menteri dan menjanjikan kesetiaan kepada Anwar Ibrahim.
“Cuma sebelum pada ini kita tidak bincang, Majlis Tertinggi pun tak bincang atas dasar antara dua mudarat, yang mana mudarat lebih besar, kita elakkan,” katanya pada sidang akhbar khas di Menara Sri Wilayah, Putrajaya hari ini.
Katanya, perkara itu merupakan perbezaan pendapat utama antara beliau dan Zahid.
“Saya terpaksa berterus-terang, kalau tidak ahli-ahli di bawah tidak tahu,” ujar Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Jelasnya, Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN tidak pernah dimaklumkan mengenai sokongan terhadap Anwar Ibrahim secara rasmi.
Tindakan Zahid itu tegasnya merupakan tindakan individu dan bukan pendirian parti. -K! ONLINE