fbpx

Menyamar ahli sukan masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga Bangladesh yang menyamar sebagai ahli sukan bagi memasuki negara dicekup imigresen dalam satu serbuan yang dilakukan pada 3 Oktober lalu.

PUTRAJAYA – Taktik digunakan satu sindiket membawa masuk warga Bangladesh dengan menyamar sebagai ahli sukan tumpas apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen pada 3 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan warga asing itu dibuat berdasarkan maklumat awam dan risikan dijalankan selama dua minggu.

Katanya, dalam serbuan itu, tiga lelaki Bangladesh yang berperanan sebagai sindiket turut ditahan.

“Dua lelaki Bangladesh yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), manakala seorang lagi lelaki Bangladesh telah tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, turut ditahan di lokasi sama seramai 18 lelaki Bangladesh yang kesemuanya berusia antara 21 hingga 33 tahun.

Katanya, pasukan operasi merampas 18 pasport Bangladesh, wang tunai RM990 dan surat jemputan untuk menyertai pertandingan sukan serta jadual pertandingan di negara ini yang dipercayai palsu.

“Modus operandi sindiket adalah membawa masuk warga asing terutamanya Bangladesh dengan menyamar sebagai ahli sukan. Mereka ini lengkap berpakaian sukan selain telah menempah tiket untuk pulang semula ke Bangladesh.

“Mereka turut menempah bilik di sebuah hotel bajet di Kuala Lumpur sehari sebelum tarikh perlawanan semasa masuk ke Malaysia untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, kadar bayaran dikenakan sindiket adalah sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 untuk setiap seorang  dan sindiket dipercayai telah beroperasi selama empat bulan.

“Dua lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI