fbpx

Dua penjual sayur didenda RM2,500 rasuah polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua penjual sayur warga asing didenda RM 2,500 setiap seorang di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM60 kepada seorang anggota polis, tiga tahun lalu. Foto - ZULFACHRI ZULKIFLI.

IPOH – Dua penjual sayur warga Myanmar didenda RM2,500 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah RM60 kepada seorang anggota polis, tiga tahun lalu.

Abdul Manaf Abu Khalaf, 28, dan Arif Dilda Amin, 24, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu secara rasuah memberi suapan wang tunai RM60 kepada Lans Koperal Mohd. Fitri Lasim di Jalan Yau Tet Shin pada pukul 10.15 pagi, 25 Disember 2018.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan kepada Mohd. Fitri yang bertugas di Balai Polis Pekan Baru sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka di bawah kesalahan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abdul Manaf dan Arif Dilda yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merayu hukuman minimum dikenakan kerana berpendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Dalam rayuan, mereka memberitahu mempunyai tanggungan isteri dan anak yang masih kecil serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

Bagaimanapun, Nurul Wahida meminta agar hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh agar menjadi pengajaran kepada mereka dan masyarakat lain.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI