SEBERANG PERAI – Pulau Aman berubah wajah dengan landskap terbaharu sekali gus diyakini dapat merancakkan lagi industri eko-pelancongan selepas kampung itu terpilih sebagai Kampung Angkat Madani (KAM).
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr. Anesee Ibrahim berkata, Projek KAM itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan komuniti perniagaan tempatan serta merangsang ekonomi tempatan terutamanya luar bandar.
“Jika kita lihat, JPA tidak seperti agensi-agensi kerajaan yang lain, kerana kita tidak pernah terlibat dengan projek-projek fizikal secara langsung memandangkan JPA adalah agensi pusat yang memfokuskan terhadap pegawai awam, pesara dan juga pelajar tajaan JPA.
“Justeru, diharapkan naik taraf yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat kepada 47 keluarga meliputi hampir 200 penduduk bagi memudahkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti,” katanya berucap sempena Program Kampung Angkat MADANI JPA: Majlis Penyerahan Fasiliti Awam Pulau Aman dan Pertandingan Memancing MyKP Pulau Aman, di sini hari ini.
Untuk rekod, JPA telah membelanjakan sebanyak RM2.32 juta bagi kerja naik taraf meliputi sembilan projek fizikal dan dua skop projek bukan fizikal di Pulau Aman.
Setakat ini, tujuh projek fizikal di bawah Program KAM JPA telah selesai dilaksanakan antaranya membaik pulih tandas awam, gelanggang permainan, naik taraf pusat pengumpulan sampah, jeti, longkang serta pemasangan lampu jalan. – KOSMO! ONLINE