MOTEGI – Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia merapatkan kedudukan dalam carta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di Litar Twin Ring Motegi semalam.
Meskipun bermula di petak kedua, namun juara dunia itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila mendahului perlumbaan seawal pusingan pertama dan berjaya mengekalkan kedudukan hingga ke garisan penamat.
Berdepan cabaran pendahulu kejuaraan dari pasukan Pramac Racing, Jorge Martin, namun Bagnaia kekal fokus dan tidak membenarkan usaha Martin memberi kesan terhadap tunggangannya pada perlumbaan itu.
“Saya sangat gembira dengan perlumbaan di sini kerana kami berjaya dapatkan mata maksimum. Prestasi hari ini (semalam) juga sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan aksi terdahulu.
“Sepanjang perlumbaan saya hanya fokus untuk mengekalkan jarak selain permulaan pada 10 pusingan pertama yang sangat baik. Sekarang kami hanya fokus untuk perlumbaan akan datang dengan strategi sama,” kata Bagnaia sebaik tamat perlumbaan.
Mengiringi Bagnaia di podium adalah Martin yang menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua manakala juara dunia enam kali dari pasukan Gresini Racing, Marc Marquez berpuas hati di tempat ketiga.
Sebagai rekod, ia merupakan kemenangan kelapan pelumba Itali itu pada musim ini selain mengumpul 382 mata, hanya 10 mata dibezakan dengan Martin yang masih mengungguli carta kejuaraan. – AGENSI