fbpx

Letih, tiga kali ‘masuk’ PPS tak sampai sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azizah Wahab, 46, bersama anaknya, Nurul Syafiqah, 20, dan Muhammad Adam Iskandar, 4, ketika ditemui pemberita di PPS SMK Changlun, hari ini.

CHANGLUN – Dalam tempoh tidak sampai sebulan, penduduk di beberapa kampung di sini terpaksa menginap di pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak tiga kali akibat banjir.

Rata-rata mereka yang ditemui mengakui agak ‘letih’ berdepan situasi itu setelah masing-masing baru selesai mencuci rumah akibat dua kejadian banjir sebelum ini.

Menurut penduduk Kampung Nang Mah, Azizah Wahab, 46, dia bersama lima anaknya terpaksa berpindah ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun kira-kira pukul 4 pagi tadi berikutan kawasan rumahnya dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

“Ini kali ketiga saya bersama keluarga berpindah ke sini. Bukan kami tak pernah berpindah ke PPS dalam tahun-tahun sebelum ini tetap kali ini, keadaannya lebih teruk dan meletihkan.

“Sudah dua kali kami cuci rumah akibat banjir tetapi kali ini keadaan tampak lebih teruk dengan paras air juga makin tinggi. Mujur saya masih belum turunkan lagi barang-barang yang diletakkan di tempat tinggi sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam katanya, hujan lebat yang berlarutan sejak tengah hari telah menyebabkan paras Sungai Laka di belakang rumahnya meningkat.

“Air mula masuk ke rumah kira-kira pukul 7 malam dan makin naik. Kami tidak dapat lelapkan mata malam tadi dan akhirnya berpindah ke PPS pada pukul 4 pagi.

“Biasanya setiap tahun kami hanya pindah dua kali saja ke PPS akibat banjir tetapi kali ini dalam tempoh tak sampai sebulan, sudah tiga kali kami berpindah ke PPS,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, seramai 154 individu daripada 53 keluarga ditempatkan di PPS tersebut setakat pukul 12 tengah hari ini.

Katanya, mereka merupakan penduduk di lapan buah kampung di sini iaitu Kampung Belakang Sekolah Dato Kemara, Kampung Kubang Kayu, Kampung Paya Lantau, Kampung Belukar, Kampung Bendang Tok Leh, Kampung Padang Halban selain Kampung Nang mah dan Kampung Paya Nongmi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI