fbpx

SELBIZ bakal jadi ekspo terbesar 5 tahun lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian orang ramai yang berkunjung ke SELBIZ 2024 anjuran PKNS di SCCC, Setia Alam, Shah Alam, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFFKOSMO!

SHAH ALAM – Ekspo Usahawan Selangor 2024 (SELBIZ 2024) dijangka menjadi acara terbesar yang menghimpunkan para usahawan di bawah satu bumbung dalam tempoh lima tahun lagi.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, SELBIZ 2024 tetap mengukuhkan jenamanya yang tersendiri dengan membawakan para pempamer dari sektor pembuatan, perniagaan dan perkhidmatan.

Dengan perancangan bajet yang teliti, SELBIZ dijangka menjadi ekspo paling dinantikan orang ramai sekali gus melibatkan usahawan negara-negara luar sebagai pempamer.

Berdasarkan tinjaun Kosmo! di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, ekspo anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu berjaya menarik sekurang-kurangnya 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari pelaksanaannya.

Lebih menarik lagi, setiap pengunjung yang hadir akan mendapat beg beli-belah secara percuma selepas melakukan pendaftaran di kaunter utama.

Bukan itu sahaja, setiap pengunjung yang hadir boleh mendapatkan mata ganjaran menerusi aplikasi PKNS Loyalty dengan mengimbas kod disediakan di setiap reruai sebelum menebusnya di beberapa gerai terpilih bergantung kepada kuota tersedia.

Bagi merancakkan lagi suasana dan menarik lebih ramai pengunjung, PKNS melengkapkan pengisian ekspo dengan pelbagai acara yang dibahagikan kepada beberapa segmen dan aktiviti seperti Konsert Gempak@SELBIZ yang menampilkan artis popular, Pesta Rasa, Hari Sukan SELBIZ, SELBIZ Ceria serta zon kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, terdapat juga acara Selawat@SELBIZ, Segmen Interaktif, kaunter pemeriksaan kesihatan Selcare, Sembang Niaga, Padanan Perniagaan, Klinik Usahawan Selangor dan kaunter perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Sabtu lalu, ekspo itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir diiringi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon.

Penganjuran SELBIZ merupakan salah satu inisiatif tambahan dari pelbagai program anjuran PKNS untuk menyokong dan memartabatkan para usahawan di negeri ini sekali gus memperkukuhkan taraf sosioekonomi negara.

Dalam pada itu, kumpulan bola jaring kumpulan ‘Main Je La’, tidak menyangka berjaya mendapat tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM700 bagi aktviti ‘Netball 3 on 3’ yang berlangsung hari ini.

Pengurusnya, Norsilawati Bahari berkata, dia dan kumpulannya berasa teruja pertama kali menyertai aktiviti di bawah SELBIZ dan berharap ia dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang.

“Aktiviti ini agak mencabar sebab perlukan pemain yang pandai ‘shoot’ dan ‘defend’. Saingan hari ini pun semuanya hebat-hebat, tapi Alhamdulillah kami berjaya pulang tanpa ‘tangan kosong’,” katanya.

Kumpulan bola jaring ‘Main Je La’, berjaya mendapat tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai berjumlah RM700 bagi aktviti ‘Netball 3 on 3’ yang berlangsung di SELBIZ 2024, di SCCC, Setia Alam, Shah Alam, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFFKOSMO!

Dalam pada itu, salah seorang peserta program SELBIZ Obstacle Run 5 Kilometer 2024 juga menyifatkan penganjuran aktiviti itu sememangnya sangat menyeronokkan dan mencabar.

Ujar Wan Huzainee Wan Hussein, dia mengetahui program tersebut daripada media sosial sebelum mengajak sembilan lagi rakan sepejabatnya untuk menyertai aktiviti itu.

“Alhamdulillah, cuaca pagi ini sangat baik dan pendaftaran pun berjalan lancar oleh barisan urus setia, amat memudahkan para peserta.

“Larian tahun ini berbeza kerana ada rintangan dan sedikit mencabar daripada biasa. Saya berharap aktiviti sebegini dapat dijadikan acara tahunan buat mengisi lapang seiisi keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI