KUALA PILAH – Lelaki pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) mental yang dipercayai menikam bapanya di Kampung Senaling, di sini sempat membeli pisau di sebuah kedai serbaneka di Pekan Senaling sebelum rebah dan meninggal dunia di tepi jalan.
Polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 4.40 petang memaklumkan kejadian pesara guru berusia 65 tahun maut ditikam anak lelakinya yang berusia 32 tahun.
Peniaga buah, Lee Kien Huei, 40, berkata, dia menyimpan semua senjata tajam sebaik melihat suspek tidak jauh dari kedainya.
“Dia (suspek) beritahu dia mahu membeli pisau. Saya memang kenal bapanya sebab selalu beli barang di kedai ini, malah bapanya pernah beritahu anak (mempunyai) sakit mental.
“Saya pernah nampak anak lelakinya (suspek) sebelum ini tetapi dia tidak pernah kacau orang.
“Jadi apabila dia datang dalam keadaan mulut berdarah dan mahu beli pisau saya beritahu tidak jual pisau. Dia pergi ke kedai sebelah. Selepas beli (pisau) dan keluar, dia terjatuh. Saya ingat dia diserang sawan sebab mulutnya berbuih sebelum polis sampai,” katanya ketika ditemui di Pekan Senaling hari ini.
Seorang penduduk dikenali sebagai Aida, 20-an, memberitahu, dia mengenali pesara guru tersebut dan isteri kerana mereka merupakan pasangan yang baik dan banyak membantu pelajar yang susah.
“Saya bekas murid kepada isterinya, memang arwah suami isteri ini begitu baik. Tidak berkira dengan anak murid sejak zaman sekolah. Dahulunya saya susah, emak bekerja menoreh getah, biasanya mereka belanja makan,” katanya.
Semalam, polis memaklumkan motif kejadian tersebut adalah disebabkan suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri.
Semasa dipujuk oleh bapanya, suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dan menikam warga emas itu. Polis merampas senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut i lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE