HULU TERENGGANU – Pekebun, Musa Ahmad, 65, yang ditemui mati di kebun di Kampung Basung di sini hari ini disahkan akibat serangan gajah liar.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, hasil bedah siasat mendapati lelaki warga emas itu mengalami kecederaan pada bahagian dada, kepala dan tangan disebabkan tekanan objek berat.
“Bedah siasat terhadap mayat mangsa selesai sepenuhnya di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini pada pukul 3.40 petang tadi.
“Mangsa disahkan mengalami kecederaan akibat tekanan objek berat dipercayai akibat dipijak gajah liar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu Musa yang tidak pulang semalaman setelah keluar rumah ditemui terbaring di dalam kawasan kebunnya di Kampung Basung pada pukul 7.30 pagi tadi.
Lelaki warga emas itu ditemui dalam keadaan lembam pada beberapa anggota badan selain hidungnya berdarah.
Zainul Mujahidin berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan orang ramai segera melaporkan penemuan gajah kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE