PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama di antara Malaysia dan Republik Rakyat Bangladesh mesti terus mekar demi rakyat.
Anwar berkata demikian susulan lawatan rasmi ke republik itu semalam.
Menurutnya, lawatan tersebut merupakan solidariti bersama rakyat Bangladesh yang sekian lama inginkan perubahan, selain berusaha mencari ruang dan peluang dalam mempererat hubungan dalam pelbagai bidang.
“Tidak sekadar strategik, malah Malaysia dengan sedaya upaya ingin Bangladesh turut bangkit bersama sebagai satu ketumbukan bagi memungkinkan perubahan yang bermakna.
“Kerjasama Malaysia bersama negara sahabat Bangladesh mesti terus mekar demi rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan ke atas Presiden Republik Rakyat Bangladesh TYT Mohammed Shahabuddin di Istana Presiden, Bangabhaban.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, antara isu yang disentuh adalah berkaitan usaha meningkatkan kerjasama di bidang ekonomi dan pelaburan termasuk pelbagai lapangan lain yang menjadi kepentingan bersama.
Pada masa sama, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Penasihat Kerajaan Interim Bangladesh, Dr. Muhammad Yunus juga tokoh hadiah Nobel pada tahun 2006. – KOSMO! ONLINE.