fbpx

SELBIZ 2024 sasar RM2 juta transaksi jualan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan SELBIZ 2024 sambil disaksikan Suhaimi (dua dari kiri) di SACC, Setia Alam, Shah Alam, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM2 juta melalui penglibatan lebih 200 usahawan termasuk pempamer sepanjang tiga hari Ekspo Usahawan Selangor 2024 (SELBIZ 2024) yang bermula Jumaat.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, SELBIZ 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SACC), Setia Alam menyediakan pelbagai pengisian menarik buat usahawan dan seiisi keluarga.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, ekspo ini merupakan inisiatif PKNS bagi membantu usahawan di Selangor meluaskan jaringan dan mencari peluang perniagaan baharu.

Katanya, platform ini menawarkan peluang komprehensif kepada usahawan, sama ada yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan mahupun baru menceburi bidang keusahawanan.

“Menerusi ekspo ini, PKNS menyediakan platform promosi yang berpusat dan menyeluruh, membolehkan usahawan terlibat memperkenalkan serta memasarkan produk atau perkhidmatan syarikat mereka dengan lebih berkesan.

“Kita juga mahu menggalakkan aktiviti jualan dan promosi produk serta perkhidmatan di samping membantu meningkatkan pendapatan jualan para usahawan melalui ekspo yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ 2024) di SACC, Setia Alam, di sini, hari ini.

Merasmikan majlis tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir diiringi Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, ekspo tiga hari ini bukan sahaja khusus kepada usahawan malah sesuai untuk semua lapisan pengunjung kerana pelbagai kelainan aktiviti yang dibawa pada tahun ini berbanding penganjuran lalu.

Tahun ini, seramai 230 pempamer terdiri daripada pelbagai industri termasuk pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan di bawah satu bumbung melalui kaedah perniagaan kepada pelanggan (B2C) atau perniagaan kepada perniagaan (B2B).

Selain itu, PKNS turut menyediakan segmen pemadanan perniagaan bagi pasaran domestik, eksport dan juga agensi pembiayaan bagi orang ramai mendapatkan informasi berkaitan pinjaman dan keusahawanan.

Sementara itu, Suhami berkata PKNS memperuntukkan lebih RM7 juta setiap tahun bagi penganjuran program-program pembangunan usahawan serta penyertaan ke ekspo-ekspo tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, sehingga tahun 2024, seramai lebih 50,000 orang usahawan telah menyertai program-program bimbingan anjuran PKNS.

Ujarnya lagi, PKNS giat melaksanakan inisiatif membantu usahawan yang berpotensi mengembangkan lagi perniagaan mereka ke luar negara dengan menyertai ekspo-ekspo antarabangsa.

“Seperti baru-baru ini PKNS telah membuka peluang kepada usahawan-usahawan PKNS menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Selain itu para usahawan juga berpeluang menyertai Pameran China-Asean Expo (CAEXPO) di Nanning, China salah satu ekspo perdagangan terbesar bagi memperkenalkan produk serta mengintai peluang pasaran dan eksport antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, pengunjung yang menghadiri ekspo esok berpeluang mengikuti program bual bicara ‘Asas Penggunaan Sosial Media Untuk Perniagaan’ selain menyertai cabutan bertuah dan bertemu pasukan Selangor FC. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI