PORT DICKSON – Insiden kekecohan melibatkan dua warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur baru-baru ini dianggap kes terpencil dan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak mengambil hati atas kejadian terbabit.
Bagaimanapun kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman siasatan menyeluruh tentang insiden dan menangani perkara itu secara empati.
Jelasnya, keutamaan pihaknya kini adalah supaya kesemua warga Palestin tersebut mendapat rawatan yang terbaik sehingga pulih sepenuhnya.
“Daripada jumlah keseluruhan 41 orang yang menerima rawatan sebelum ini, kini hanya tinggal empat orang sahaja yang masih dirawat lanjut di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
“Perancangan masa hadapan termasuk berkenaan penghantaran pulang warga Palestin itu akan tertakluk kepada pihak yang terlibat,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Hari Ulang Tahun (HUT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Segenting di sini hari ini.
Tambah Mohammad, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali turut memohon maaf berhubung insiden kekecohan itu.
Mengulas lanjut beliau berkata, kekecohan tersebut berlaku ekoran kebanyakan warga Palestin itu menginap terlalu lama di hospital dan mereka tidak berpeluang untuk keluar.
Malah katanya, mereka juga datang dari kawasan perang di Gaza yang dilanda perang dan ini juga menyumbang kepada tekanan emosi.
“Namun, kita ada mengatur beberapa aktiviti dan program untuk mereka keluar, bukan sahaja meletakkan mereka di hospital atau Wisma Transit, tetapi ia dikawal sepenuhnya.
“Kita bertindak (mengawal) pergerakan adalah atas faktor keselamatan kerana mereka datang untuk menerima rawatan. Kita tidak mahu perkara tidak diingini berlaku,”ujarnya.
Pada masa sama, Mohammad berkata, pihaknya bersama kementerian lain akan melihat apakah langkah seterusnya akan dilaksanakan ke atas warga Palestin ini apabila mereka sihat kelak.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kedua-dua wanita warga Palestin yang terlibat dalam kekecohan itu dihantar pulang sebagaimana yang dijelaskan Duta Palestin semalam, Mohammad berkata, perkara itu akan diserahkan pada budi bicara pihak kedutaan.
Semalam, media melaporkan dua wanita warga Palestin yang tular video membuat kekecohan dan merosakkan harta benda awam di Wisma Transit Kuala Lumpur akan dihantar pulang ke Gaza dalam masa terdekat.
Kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang cedera dan tiba di Malaysia pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan perubatan di sini berikutan serangan Israel ke atas Gaza tahun lalu.
Perkara itu disahkan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Terdahulu, dalam klip video yang tular di media sosial wanita terbabit bertindak memecahkan pasu dan menendang meja di di Wisma Transit yang menempatkan rakyat Palestin yang cedera dan keluarga mereka sepanjang tempoh rawatan perubatan.
Kekecohan tersebut berlaku selepas mereka dipercayai tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan tinggal di luar Wisma Transit.-KOSMO! ONLINE.