fbpx

Pahang fatwa GISBH sesat, masih amalkan Aurad Muhammadiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUFTI Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim

KUANTAN – Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang memutuskan fatwa bahawa pengikut-pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah menyeleweng dan sesat.

Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, keputusan tersebut dibuat setelah diperkenankan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, jawatankuasa itu yang bersidang dalam mesyuarat khas pada 2 Oktober lalu memutuskan pengikut GISBH sesat apabila meneruskan kepercayaan dan amalan dalam Aurad Muhammadiah yang dibawa oleh Al-Arqam yang sudah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.

“Pengikut GISBH juga mempercayai bahawa Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada 2010 tidak mati sebaliknya ghaib.

“Keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut di atas dan termasuk apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau mana-mana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan,”katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata, sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISBH juga tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak.

“Semua pihak berkuasa seperti Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan lain-lain hendaklah berkerjasama bagi merangka dan melaksanakan pemulihan serta pemantauan kepada pengikut-pengikut GISBH,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI