ALOR SETAR – Desakan supaya rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan di negara ini dihantar pulang susulan kekecohan di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada sesiapa boleh membuat kesimpulan bahawa semua rakyat Palestin bersikap sedemikian.
“Rakyat Palestin itu adalah individu yang tercedera serta ahli keluarga mereka. Kita bawa mereka ke sini dan berikan rawatan sebagai tanda kemanusiaan kita.
“Jadi apabila insiden ini tercetus, rakyat Malaysia tidak harus ada tanggapan umum mengenai sikap mereka dan mendesak supaya dihantar balik. Negara mereka sedang berperang dan hancur.
“Tak masuk akal untuk kita desak hantar mereka balik kerana hanya insiden begini. Apa yang lebih penting adalah kita cari penyelesaian bagaimana undang-undang sedia ada boleh diguna pakai untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka di sini,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Townhall Pelajar bersama Menteri Dalam Negeri sempena Minggu Suai Kenal Semester Pertama Sesi 2024/2025 Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, insiden itu dipercayai berlaku kerana segelintir rakyat Palestin itu tidak berpuas hati disebabkan pergerakan mereka dihadkan setelah lama tinggal di pusat transit.
“Di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN), pas dikeluarkan kepada mereka untuk tinggal di sini adalah khas untuk menerima rawatan. Jadi secara logiknya, takkan kita nak biarkan mereka tinggal merata-rata?
“Tetapi mungkin kerana sudah terlalu lama mereka di sini, mereka rasa tak betah untuk berada di satu tempat dan berhasrat supaya dibenarkan untuk bergerak di kawasan lebih luas,” ujarnya.
Sebagai jalan penyelesaian katanya, KDN telah mengadakan perbincangan untuk menilai semula pengeluaran pas bersesuaian, mengikut undang-undang sedia ada.
“Di peringkat KDN, kita telah berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan pada masa depan. Di bawah Akta Imigresen, ada pelbagai pas dengan kita turut membenarkan sejumlah rakyat Syria datang ke sini ketika kemuncak perang di negara itu dulu.
“Rakyat Syria itu berada di sini untuk tempoh tiga atau empat tahun dan hingga kini, masih ada yang tinggal di sini. Jadi kita akan lihat pas yang bersesuaian untuk tujuan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE