KUALA LUMPUR – Zoo Negara menerima ratusan pengunjung meskipun hari ini merupakan hari bekerja di kebanyakan negeri.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Rosly@Rahmat Ahmad Lana, pada kebiasaannya, bilangan pengunjung yang hadir ke Zoo Negara adalah lebih 200 orang setiap hari antara Isnin hingga Jumaat.
“Pada hujung minggu pula, jumlah pengunjung melonjak naik melebihi seribu orang menunjukkan minat yang tinggi daripada orang ramai untuk berkunjung ke salah satu tempat menarik di Malaysia.
“Dalam setahun, kami menerima kunjungan hampir satu juta pengunjung yang datang dari pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang, termasuklah pelancong dari luar negara untuk menikmati pengalaman unik di Zoo Negara,” katanya ketika ditemui di Zoo Negara, di sini hari ini.
Tinjauan Kosmo! di Zoo Negara hari ini memperlihatkan lebih tiga buah bas persiaran yang membawa rombongan pelajar sekolah mengunjungi salah satu tarikan utama di sekitar Lembah Klang.
Ini menunjukkan Zoo Negara masih releven dan kekal menjadi sebuah destinasi pelancong bagi pengunjung tempatan serta luar negara.
Seorang pengunjung dari Terengganu dikenali sebagai Fiza berkata, ini merupakan pengalaman kali pertama dia membawa seluruh ahli keluarganya melawati Zoo Negara.
“Sangat seronok, lagi-lagi bila dapat bawa anak-anak datang tengok haiwan. Meluangkan masa dengan keluarga besar di Zoo Negara.
“Tarikan di sini juga banyak, memang puas bila seharian berjalan meneroka keunikan spesis haiwan-haiwan yang ada,” katanya kepada Kosmo!. – KOSMO! ONLINE.