BANGKOK – Polis masih memburu seorang bekas petinju terkenal selepas dia memecah masuk sebuah rumah dalam kejadian di Pyaya Thai, Bangkok semalam, lapor laman berita The Pattaya News.
Suspek dikenali sebagai Santi, 38, dan memiliki ketinggian kira-kira 180 sentimeter. Dia dikehendaki di bawah waran Mahkamah Jenayah kerana melakukan pecah rumah, pencerobohan bersenjata dan kerosakan harta benda.
Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia memanjat pagar sebelum menceroboh masuk ke dalam rumah milik seorang doktor.
Terdapat seorang wanita dan dua anak lelakinya di dalam rumah tersebut semasa kejadian.
Namun, wanita itu berjaya melarikan diri, meninggalkan dua anak lelaki tersebut.
Ketika pasukan polis tiba, Santi dilaporkan melepaskan satu das tembakan dan mencederakan seorang anggota polis.
Bekas pemilik sebuah kem latihan tinju dikenali sebagai Sorasak Saetang tiba untuk memujuk suspek supaya menyerah diri.
Sorasak berkata, suspek pernah menjadi peninju terkenal dan memperoleh bayaran lumayan lebih 100,000 baht (RM12,771) untuk setiap perlawanan.
Bagaimanapun, suspek terlibat dalam gejala penagihan dadah yang membawa kepada pembabitan dalam jenayah kecil, menyebabkan dia diusir dari kem latihan itu lima tahun lalu, kata Sorasak.
Siasatan lanjut mendapati dua anak lelaki doktor itu bersembunyi di dalam rumah tersebut namun tanpa disedari, Santi berjaya melarikan diri. – AGENSI