LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menganggap para pemainnya semakin matang untuk mengekalkan rekod tanpa kalah sebelum bermulanya tempoh rehat antarabangsa yang akan bermula Isnin hingga 15 Oktober ini.
Kejayaan ke atas Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara juga memberikan suntikan moral buat The Gunners untuk berdepan Southampton di Emirates, malam ini.
“Saya fikir kemenangan ke atas PSG meningkatkan lagi keyakinan yang kami mampu bersaing dengan mana-mana pasukan di pentas Eropah. Saya juga merasakan corak permainan kami sudah menunjukkan kematangan.
“Keyakinan itu membangkitkan kesungguhan dan semangat semua orang. Saya fikir kejayaan itu banyak membantu kami jadi lebih baik,” katanya.
Pencapaian yang diraih Arsenal ketika ini pastinya menjadikan kelab itu sebagai pilihan ke atas Southampton dimana pengurusnya, Russell Martin sudah pun dihimpit tekanan selepas menghuni tangga kedua tercorot.
Mengambil kira jadual perlawanan yang agak padat, Arteta juga mungkin akan melakukan penggiliran dimana pengurus itu sudah pun kehilangan beberapa pemain yang cedera.
The Gunners kini dijangka akan turun tanpa Ben White, Takehiro Tomiyasu, Kieran Tierney dan Oleksandr Zinchenko namun paling mencuri perhatian dalam pertemuan kali ini pastinya menjurus kepada kepulangan semula penjaga gol, Aaron Ramsdale ke Emirates. – AGENSI