PUTRAJAYA – “Dia (pelaku buang sampah) seharusnya insaf dan diharap dapat memohon maaf atas sikap buruk yang ditunjukkan itu.
Itu reaksi Menteri Alam Sekitar Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadap video tular di media sosial mengenai tindakan seorang wanita yang dipercayai membuang bungkusan plastik di sebuah jambatan.
Tuan Ibrahim berkongsi kekecewaan itu menerusi laman Facebook rasminya, malam semalam.
“Satu video viral sebuah kereta berhenti di atas sebuah jambatan lalu membuang sampah ke dalam sungai.
“Saya ingin melahirkan rasa kecewa di atas sikap yang ditunjukkan.
“Dalam usaha kementerian melancarkan kempen menjaga sungai, masih ada segelintir masyarakat yang tidak pedulikan kebersihan sumber air kita,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, beliau berterima kasih kepada individu yang membuat rakaman berkenaan.
Terdahulu, tular video yang memaparkan seorang wanita membuang bungkusan plastik di sebuah jambatan dipercayai di Kelantan.
Rakaman berdurasi 20 saat itu mulai tular selepas ia dikongsi pengguna Facebook sehingga menerima kecaman dan pelbagai respon daripada netizen.
Netizen menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral selain mengundang pencemaran alam sekitar.-K!ONLINE