fbpx

Air sampah haram masuk kampung akibat ban pecah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan ban yang pecah di lembangan Sungai Buloh, Ijok, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Ban di lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini, pecah hingga menyebabkan limpahan air berwarna hitam yang membawa kotoran sampah ke kebun penduduk hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan berkata, timbunan sampah tersebut adalah kesan akibat pembuangan sampah haram yang memasuki Kampung Ijok ekoran ban pecah.

“Air (limpahan ban) itu membawa sampah dan menjadikan ia berwarna hitam dan berbau busuk. Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang membuang sampah haram di kawasan lembangan tersebut,” katanya kepada pemberita.

Justeru, beliau berharap warga Ijok bersedia dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

Tambah Jefri, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib bagi menghalang arus deras melimpah ke kampung berdekatan.

“Selagi ban itu tidak dibaik pulih, ia tidak dapat menyelesaikan masalah biarpun pam dipasang di kawasan lembangan sungai berkenaan. Saya berharap air yang masuk ke kampung dapat dikawal dan pam-pam dipantau untuk beroperasi semula,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 2,000 penduduk di tiga kampung dan kawasan perumahan di Ijok menderita bau busuk dan asap berikutan kewujudan tapak sampah haram di tanah persendirian berhampiran lembangan Sungai Buloh sejak lebih dua tahun lalu.

Kesemua kampung yang terjejas itu adalah Kampung Harmoni, Kampung Batu 7 dan Kampung Batu 8. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI