SEPANG – Malaysia mahu menarik lebih banyak syarikat pengangkutan kargo udara dalam usaha menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab logistik dan persinggahan utama di rantau ASEAN.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, KLIA menawarkan banyak potensi untuk terus berkembang pada masa hadapan dalam perkhidmatan logistik negara.
“Seluruh idea KLIA Aeropolis adalah untuk menjadikan KLIA sebagai hab untuk rantau ASEAN. Ini kerana KLIA memiliki semua faktor diperlukan yang dapat membantu Malaysia untuk terus berkembang.
“KLIA bukan hanya tentang terminal penumpang, kargo (juga) adalah komponen yang sangat penting di KLIA. Dan anda boleh lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perkembangan besar telah berlaku di bahagian kargo KLIA, banyak kompleks gudang kargo baharu, termasuk kompleks ini, Cai Niao. Dan saya pasti akan ada lebih banyak lagi pembangunan akan datang.
“Selain itu, terdapat banyak permintaan daripada beberapa syarikat pengangkutan kargo, termasuk beberapa syarikat multinasional yang sudah berunding dengan kerajaan, meminta kerajaan untuk memudahkan dalam menyediakan ruang bagi mereka untuk melabur dan berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kerjasama strategik antara MMAG Aviation Consortium Sdn. Bhd. (MAC) dan Unilode Aviation Solutions di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, KLIA berpotensi untuk menjadi hab logistik utama di ASEAN berikutan rangkaiannya yang luas.
“Faktor yang saya katakan mengapa KLIA mempunyai potensi untuk menjadi hab utama ASEAN adalah kerana rangkaian kita yang sangat besar. Ini adalah kelebihan yang mungkin tidak ramai perhatikan, dalam aspek kesalinghubungan ASEAN, KLIA adalah antara yang terbaik di rantau ASEAN.
“Kerana melalui syarikat penerbangan terutamanya syarikat penerbangan kos rendah, kita terbang ke banyak bandar kedua di ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja, semua ini terus dari KLIA,” ujarnya.
Tambah beliau, KLIA telah pun berfungsi sebagai hab logistik di ASEAN, namun ia perlu terus berkembang sebagai hab utama dalam menarik lebih banyak pelaburan.
“Jadi, sebenarnya, kita boleh lihat bahawa kargo KLIA agak sibuk sekarang ini. Tetapi apa yang saya cuba katakan adalah bahawa kita boleh berkembang menjadi sesuatu yang lebih besar.
“Kita boleh terus melihat dari segi meningkatkan jumlah trafik, meningkatkan pergerakan, meningkatkan jumlah penerbangan dan menarik lebih banyak syarikat pengangkutan kargo.
“Untuk menjadikan KLIA sebagai hab utama, proses yang berterusan sudah pun berjalan. Itulah sebabnya kerjasama seperti ini adalah baik, dan kita perlu mempertingkatkan kecekapan dari segi peralatan dan kemudahan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE