fbpx

‘Tiga tahun saya berjuang satukan keluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD (kanan) ketika ditemui di pejabat Perlis Centre of Wisdom di Kangar hari ini.

KANGAR – Seorang bekas pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holding (GISBH) mendedahkan bahawa kumpulan itu menganggap mana-mana individu yang ingin bebas daripada gerakan itu akan dianggap sebagai musuh.

Difahamkan, dianggarkan terdapat seramai 4,000 ke 5,000 ahli jemaah GISBH di seluruh negara ini dan sesiapa yang keluar daripada kumpulan itu juga dianggap sebagai musuh serta diburu, diugut dan pelbagai tindakan tidak sepatutnya diambil oleh gerakan itu.

Lelaki hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, berkata, dia mula menyertai GISBH sekitar tahun 2009 selepas diajak menyertai gerakan itu oleh abangnya.

“Saya mula menyertai GISBH dan ditempatkan ibu pejabat GISBH di Country Homes di Rawang, Selangor selepas terlibat untuk menghasilkan komik setelah tamat persekolahan.

“Saya kemudiannya ditugaskan untuk menjadi setiausaha kerja di Sarawak bagi menguruskan aktiviti rangkaian perniagaan kumpulan tersebut di sana,” kata pemuda yang berasal dari Johor itu di pejabat Perlis Centre of Wisdom di sini hari ini.

Ahmad menceritakan bahawa dia bertugas dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk restoran, pengilangan dan bahagian media kumpulan tersebut di hampir seluruh bahagian negeri Sarawak antara tahun 2011 hingga 2020, sebelum dihantar ke Pulau Tioman, Pahang dan Endau, Mersing di Johor.

“Kami bekerja tanpa gaji, namun makanan dan tempat tinggal disediakan oleh pengurusan kumpulan itu. Ada asrama untuk lelaki dan perempuan. Yang berkahwin pun tinggal di asrama,” jelasnya.

Ceritanya lagi, detik hitam bermula apabila dia mula sedar ada yang tidak kena dalam gerakan itu dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar sekali gus mengambil keputusan keluar daripada gerakan itu bersama dua isteri serta anak bongsu.

“Kisah hitam bermula apabila saya dihalang berjumpa empat lagi anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama, malah melarikan mereka ke suatu tempat yang tidak diketahui.

“Sepanjang tempoh itu saya turut diugut oleh kumpulan itu, namun saya tetap berjuang untuk bersatu kembali dengan keluarga saya dan sentiasa berusaha mengesan lokasi mereka.

“Selepas tiga tahun saya berjuang untuk bersatu dengan keluarga akhirnya saya dapat bertemu dengan mereka selepas pihak berkuasa menemui mereka di sebuah rumah amal di Perak menerusi Op Global,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI