PETALING JAYA – Malaysia telah mencapai kemajuan memberangsangkan dalam meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita daripada 37.2 peratus pada 1970 kepada 56.2 peratus tahun lalu, menurut laporan Gender Gap in the World of Work: Status and Progress dan Individual Attributes, Values and the Gender Employment Gap yang diterbitkan Khazanah Research Institute (KRI).
Dua kajian berkenaan menganalisis perkembangan pasaran buruh di Malaysia melalui lensa gender, selain menilai kemajuan yang telah dicapai dalam menangani jurang gender sepanjang lima dekad lalu.
Menurut KRI, tahap penglibatan tenaga buruh wanita bagaimanapun masih 25 peratus lebih rendah berbanding lelaki ketika ini, dan tidak menampakkan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun yang lepas.
Ini berbeza dengan kadar penyertaan lelaki terutamanya dalam lingkungan usia 25 hingga 54 tahun, iaitu fasa paling produktif yang sentiasa berada pada tahap hampir 100 peratus sepanjang empat dekad yang lalu.
“Trend bagi wanita adalah tidak konsisten seperti lelaki, ia menunjukkan trend naik-turun yang ketara mengikut fasa hidup mereka.
“Penyertaan wanita dalam pasaran kerja adalah tinggi ketika berusia lewat 20-an, kemudian menurun pada usia 30-an sebelum meningkat semula pada awal usia 40-an.
“Trend ini menunjukkan keputusan wanita untuk bekerja atau meninggalkan pasaran buruh lazimnya dipengaruhi oleh fasa hidup mereka seperti berkahwin dan membersarkan anak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya satu trend positif yang telah muncul ialah dari segi tempoh berhenti dan kembali kerja yang lebih singkat dalam kalangan wanita kini berbanding generasi terdahulu.
Katanya, senario itu boleh dikaitkan dengan pelaksanaan dasar khusus yang menyokong wanita untuk kembali bekerja serta perubahan sosio-demografi seperti peningkatan tahap pendidikan, proses urbanisasi yang pesat dan penurunan kadar kesuburan.
Kajian KRI turut mengetengahkan perbezaan impak menjadi ibu bapa antara lelaki dan wanita, yang mana tanggungjawab penjagaan anak yang berat sebelah terus menjadi penghalang bagi wanita untuk bekerja.
“Bagi menangani isu ketidakseimbangan ke atas penjagaan anak, kajian ini telah mengenalpasti bahawa ketidaksamaan di tempat kerja dan rumah, selain stereotaip peranan gender, adalah dua aspek yang perlu ditangani dalam merapatkan jurang gender.
“Polisi mesra keluarga seperti kerja fleksibel, cuti bersalin dan paterniti, serta kos penjagaan anak yang berpatutan dapat menyokong wanita dalam mengimbangi antara tanggungjawab kerja dan keluarga,” jelasnya.
KRI turut menyatakan bahawa sasaran Ekonomi Madani untuk mencapai kadar penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 60 peratus adalah tidak mustahil, namun usaha perlu dipertingkatkan untuk mencapai matlamat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.