fbpx

‘Abang Adik’ dipilih wakil Malaysia ke Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Filem Abang Adik dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi ke-97 yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.

PETALING JAYA – Terus mencatat kejayaan, filem Abang Adik dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi ke-97 atau Oscar yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.

Berita gembira itu dikongsikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan.

Menurut Finas pemilihan karya sulung arahan Jin Ong itu hasil beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas yang terdiri daripada barisan profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat penyertaan ditetapkan oleh penganjur.

“Filem terbitan More Entertainments Sdn. Bhd. ini merangkul 19 anugerah antarabangsa, sekali gus satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

“Antara pencapaian tertinggi adalah Anugerah Filem Terbaik, Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition Ke-22) dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics Award serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali.

“Di peringkat tempatan, filem ini mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik,” katanya.

Tambah Finas lagi, naskhah berkenaan mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta sehingga 30 September lalu selepas mula ditayangkan pada 21 September lalu.

Filem Abang Adik mencetus fenomena tahun lalu dengan kutipan pecah panggung RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong sehingga menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi di luar negara.

Sementara di Malaysia, filem Abang Adik mencatat kutipan RM5.7 juta ketika ditayangkan pada Disember tahun lalu.

Sekadar info, filem Abang Adik menceritakan kehidupan dua anak yatim piatu lakonan Jack Tan dan pelakon dari Taiwan, Wu Kang Ren. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI