IPOH – Seorang penjenayah licik yang menjadi buruan polis sejak enam tahun lalu berhubung kes penipuan mencecah jutaan ringgit akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44, yang didakwa atas pertuduhan menipu pekerjaan tidak wujud itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Lelaki itu didakwa menipu mangsa, Latipah Ahmad Sudan, 64, sehingga mendorong wanita itu menyerahkan wang sebanyak RM24,000 bagi mendapatkan pekerjaan sebagai juruterbang yang tidak wujud.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan mesin juruwang automatik (ATM) CIMB Bank di Gunung Rapat di sini antara pukul 12 dan 1 tengah hari dari 22 Disember 2016 hingga 8 April 2018.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Robert Gnanarajan.
Terdahulu, Nuranisah Ismah mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh, namun Robert memohon jumlah yang minuman dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan lima anak selain tiada bantahan sekiranya syarat tambahan dikenakan.
Siti Nora menetapkan jaminan sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan, suspek yang menyamar pelbagai profesion termasuk timbalan pendakwa raya, juruterbang dan jurutera Petronas itu ditahan di Ampang, Selangor pada pukul 11.45 malam, Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE