fbpx

Rakyat Malaysia rugi RM53b setahun akibat scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Rakyat Malaysia kehilangan AS$12.8 bilion (RM53.86 bilion) tahun lalu akibat penipuan, menurut Laporan Situasi Penipuan 2024 oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA), dengan kerjasama Whoscall dan Feedzai.

Angka tersebut bersamaan tiga peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat melibatkan 1,202 rakyat di negara ini, 70 peratus daripada mangsa penipuan tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa, yang menonjolkan keraguan mengenai keberkesanan proses pelaporan. 

Pada masa sama, 32 peratus daripada responden menyatakan telah mengalami kerugian wang akibat penipuan, manakala 74 peratus memberitahu berdepan dengan penipuan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh sebulan.

Kaedah penipuan yang biasa digunakan termasuk menerusi panggilan telefon, aplikasi permesejan dan platform media sosial seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook.

Purata kerugian bagi setiap mangsa dilaporkan pada AS$2,726 (RM11,622), dengan hanya dua peratus berjaya mendapatkan semula wang mereka sepenuhnya.

Laporan berkenaan turut mengetengahkan bahawa proses penipuan berlaku dengan pantas, yang mana 33 peratus daripada penipuan diselesaikan dalam masa 24 jam sejak hubungan kali pertama, manakala 20 peratus melaporkan bahawa penipuan berakhir dalam hanya beberapa minit.

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo menekankan kepentingan teknologi pencegahan penipuan yang bersifat proaktif dalam landskap digital hari ini. 

“Dengan aplikasi anti-penipuan lanjutan seperti Whoscall berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama terhadap penipu, kita boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dengan ketara. 

“Whoscall sedang aktif bekerjasama dengan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia bagi memperkukuh usaha dalam menangani penipuan dan meningkatkan perlindungan awam. 

“Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan penyelesaian termaju bagi menyediakan peralatan kepada rakyat Malaysia untuk mengenal pasti dan menghentikan penipuan sebelum ia mengakibatkan kemudaratan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI