SHAH ALAM – Keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkaitan GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) akan disentuh menerusi khutbah Jumaat hari ini.
Exco Hal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, turut akan dimaklumkan dalam khutbah di seluruh masjid dan surau jumaat di Selangor hari ini adalah nasihat dan pesanan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Fatwa sudah disembah maklum dan Tuanku sudah berkenaan. Insya-Allah, kita akan maklumkan dan sentuh sikit melalui khutbah Jumaat seluruh Selangor (hari ini).
“Sebab saya rasa, dalam minggu lepas bila kita sebut soal kanak-kanak dalam GISBH dilihat menarik minat rakyat. Maknanya ada yang kata pertama kali, jadi isu kontemporarilah maksudnya.
“Jadi, kalau esok, bila kita maklum orang akan mendengar khutbah dan minat terhadap (dengar khutbah) itu perlu dikembalikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Fahmi menjelaskan, pewartaan fatwa akan dilakukan dalam masa terdekat seperti mana dititahkan oleh Sultan Selangor sebelum ini.
“Proses pewartaan fatwa itu ada dua kaedah, tetapi tertakluk kepada apa keputusan yang diputuskan. Tetapi proses itu di peringkat dalaman.
“Boleh jadi juga dibentangkan ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kalau perkara itu ada keperluan awam yang mendesak,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan kepada fatwa terkini berkenaan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.
Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Selangor Royal Office, keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September lalu tersebut disembah maklum kepada Sultan Sharafuddin untuk diperkenankan oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor yang juga Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.
Pada Jumaat lalu, Khutbah Jumaat di seluruh Selangor mencuri tumpuan para jemaah apabila membincangkan tentang isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak di rumah amal yang dimiliki GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Dengan tajuk ‘Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak’, isi khutbah itu disediakan oleh Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). – KOSMO! ONLINE