PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga di Kelantan dan waspada peringkat kuning di tujuh negeri lain hari ini.
Menerusi kenyataan di laman Facebooknya, MetMalaysia memaklumkan, cuaca buruk tersebut akan membawa hujan lebat yang berterusan sepanjang hari ini.
Katanya, daerah yang terlibat di negeri itu adalah Tanah Merah, Jeli, Pasir Mas, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.
“Manakala, bagi daerah Kota Bharu; Tumpat; Bachok dan Pasir Puteh diletakkan dalam zon kuning iaitu tahap waspada.
“Amaran sama turut dikeluarkan untuk tujuh negeri lain iaitu Perak; Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Terengganu; Pahang dan Sabah,”katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, daerah yang terlibat dengan amaran cuaca waspada di Perak adalah Kerian; Larut; Matang; Selama; Hulu Perak; Kuala Kangsar dan Kinta.
“Di Terengganu ia melibatkan daerah Besut; Setiu; Kuala Nerus; Hulu Terengganu, Kuala Terengganu; Marang; Dungun dan Kemaman.
“Di Sabah pula, daerah yang terlibat adalah di Sandakan; Telupid; Kinabatangan; Beluran dan Kudat,” katanya.
Jelas MetMalaysia, amaran cuaca waspada tahap kuning turut dikeluarkan bagi keseluruhan negeri Perlis; Kedah; Pulau Pinang dan Pahang.
“Hujan lebat dijangka akan berlaku sepanjang hari ini di seluruh kawasan yang berada di zon kuning,” ujar MetMalaysia.-K! ONLINE