fbpx

Penyudah tumpul punca Bayern ‘diaibkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGEMPUR berbisa Bayern, Harry Kane terpaksa menerima hakikat ‘dikunci’ sepanjang aksi ketika tewas 0-1 kepada Villa. - AFP

LONDON – Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany nyata kurang berpuas hati dengan aspek penyudah pasukannya hingga dipalit kekalahan pertama apabila tewas mengejut 0-1 kepada Aston Villa dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.

Walaupun tampil sebagai pasukan yang lebih berhak untuk meraih kemenangan, namun bekas kapten Manchester City itu terpaksa mengharungi detik mengecewakan untuk merelakan kekalahan tipis di Villa Park.

Kompany juga enggan menuding jari kepada mana-mana pemainnya biarpun mereka menguasai 70 peratus penguasaan dengan melakukan 17 percubaan keseluruhan ke gawang Villa yang bermain parkir bas dan menunggu peluang serangan balas pantas.

“Jika kamu tidak mengambil peluang yang dicipta, inilah yang boleh berlaku. Kami mempunyai peluang terbaik, namun kami gagal melakukan penyudah dengan lebih baik.

“Kami memberikan ruang kepada Villa untuk mendapatkan jaringan. Sudah pasti perlawanan ini memberikan detik manis buat pasukan lawan tetapi sebaliknya buat kami,” katanya.

Kejayaan itu pastinya cukup bermakna buat Villa kerana ini adalah penampilan sulung di kejohanan utama Eropah dalam tempoh 41 tahun dan mereka wajar berterima kasih kepada penjaga gol, Emiliano Martinez yang bertindak cemerlang.

Ia juga pastinya memberi tamparan besar buat Bayern yang memulakan kempen musim ini dengan kemenangan bergaya 9-2 ke atas Dinamo Zagreb.

“Ketika kami mengawal bola, kami sememangnya bahaya, namun Villa juga adalah pasukan kuat dan venue ini bukanlah tempat yang mudah untuk kami harungi. Jika kami fokus, sudah pasti kami akan memenangi banyak perlawanan,” tambah Kompany.

Sebagai rekod, ini adalah perlawanan kedua berturut-turut Bayern gagal mencatat kemenangan selepas seri 1-1 dengan Bayer Leverkusen dalam saingan Bundesliga hujung minggu lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI