KUALA LUMPUR – Pameran dan Persidangan Pelancongan dan Budaya Antarabangsa (INTAC24) yang bermula hari ini sehingga 6 Oktober ini dijangka menarik lebih 100,000 pengunjung.
INTAC24 dalam satu kenyataan berkata, acara anjuran WEX Malaysia Sdn. Bhd. itu menghimpunkan para profesional pelancongan, pencinta budaya, pemimpin industri dan wakil kerajaan dari seluruh dunia.
“Sebanyak 300 pempamer yang mewakili 31 buah negara termasuk Malaysia, Filipina, Argentina, Bangladesh, Georgia, Indonesia,Iraq, Kazakhstan, Kenya dan Kyrgyzstan mengambil bahagian.
“Turut mengambil bahagian pempamer dari Maldives, Bosnia dan Herzegovina, China, Jepun, Sri Lanka, Malawi, Pakistan, Azerbaijan, Burundi, India, Ghana, Syria, Mexico, Peru, Singapura, Afrika Selatan, Uganda, Amerika Syarikat, Yaman, Zambia dan Myanmar,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, acara itu juga menjadi platform untuk pakar akademik dan industri berbincang mengenai pelancongan lestari, pemuliharaan warisan secara bertanggungjawab dan masa depan pelancongan global.
Tambah kenyataan itu, INTAC24 turut memupuk perhubungan global dan pertukaran budaya sambil menonjolkan nilai-nilai yang terbaik dalam pelancongan, seni dan warisan budaya.
Kata kenyataan itu, salah satu tumpuan utama acara itu adalah persidangan antarabangsa dengan tema Memelihara Masa Lalu, Membentuk MasaDepan: Pelancongan Bertanggungjawab melalui Warisan Budaya.
“Sub-acara ini menghimpunkan pakar-pakar global, pembuat dasar dan peneraju industri untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam memelihara warisan budaya melalui pelancongan.
“Para hadirin akan terlibat dalam ucapan utama, sesi panel, bengkel dan sesi kolaboratif yang mempromosikan amalan pelancongan lestari sambilmemelihara warisan budaya untuk generasi akan datang,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, penganjur acara juga bekerjasama dengan institusi akademik seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan MADANI Research Centre yang memainkan peranan penting dalam merangka agenda persidangan.
“Topik seperti Perspektif Global mengenai Pelancongan Warisan Budaya Mampan dan Tahun Melawat Malaysia 2026: Visi Malaysia untuk Pelancongan Warisan yang Mampan dan Bertanggungjawab akan dibincangkan,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE