fbpx

3 isteri cantik ‘membawang’ kupas isu panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA selebriti bersatus isteri, Adriana Adnan, Uyaina Arshad dan Syamim Freida kini muncul dalam program Tiga Is3 yang mengupas isu kemasyarakatan dan hal-hal rumah tangga.

MENGANGKAT isu semasa membabitkan keluarga dan perkahwinan, program bual bicara Tiga Is3 menyajikan input bermanfaat kepada khalayak yang disampaikan secara santai.

Ditunjangi tiga personaliti popular iaitu Adriana Adnan, Uyaina Arshad dan Syamim Freida, topik yang diketengahkan cukup dekat dengan masyarakat terutama golongan isteri serta ibu.

Isu rumah tangga

Kebanyakan perbincangan tidak hanya tertumpu kepada isu semasa tetapi lebih kepada cabaran dalam rumah tangga, perkahwinan muda dan topik penting lain bertepatan judul program.

Mengambil ilham program popular 3R yang popular sekitara tahun 2000, Adriana menyifatkan Tiga Is3 sebagai wadah utama untuk mereka berkongsi pengalaman dan cabaran dalam melayari kehidupan seharian.

“Kami bertiga berstatus isteri dan pastinya masing-masing berdepan cabaran dan kisah tersendiri sepanjang mengemudi bahtera perkahwinan.

“Jadi kami gunakan Tiga Is3 sebagai medium berkongsi cerita yang dapat dijadikan panduan buat penonton.

“Apa yang pasti ini bukan sebuah program kompleks dan serius memandangkan semuanya dilakukan secara santai,” katanya ketika pelancaran Tiga Is3 baru-baru ini.

PROGRAM Tiga Is3 mengangkat isu semasa membabitkan keluarga dan perkahwinan.

Tugas mencabar

Lebih menarik, trio yang sudah bertahun-tahun akrab itu tidak hanya berbincang dalam studio atau premis pilihan, mereka juga perlu menyempurnakan cabaran dalam segmen khas selain perlu melunaskan denda andai kalah.

Antara tugas itu adalah membeli barang dengan sejumlah wang di sebuah pasar basah, manakala yang gagal akan didenda melakukan perkara jarang dilakukan wanita seperti mencuci motosikal.

Bagi Uyaina pula, dia teruja melaksanakan tugasan itu.

“Memang ini antara segmen yang paling menarik dalam setiap episod kerana kami diberikan pelbagai cabaran menguji minda dan fizikal untuk dilakukan dalam masa yang singkat.

“Sesiapa yang gagal akan didenda dengan perkara yang jarang atau tidak pernah dibuat. Sejujurnya, memang banyak perkara yang kami tidak pernah lakukan selama ini.

“Cabaran itu secara tidak langsung menyuntik pengalaman baharu buat kami bertiga,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Program luar biasa

Menariknya, Uyaina banyak berkongsi pengalaman menguruskan kerjaya dan rumah tangga termasuk cabaran membesarkan anak-anak yang disifatkan sebagai pengembaraan berharga.

Sementara itu, Syamim melihat Tiga Is3 sebagai program luar biasa yang bukan sekadar berkongsi wadah dengan penonton bahkan mengeratkan ikatan persahabatan mereka.

Paling mengujakan bekas pengacara HLive itu apabila mereka berpeluang merakamkan lagu tema Tiga Is3 berjudul Permata.

“Sebelum penggambaran, ada yang mencadangkan supaya kami merakamkan sebuah lagu runut bunyi. Kenapa tidak? Ini merupakan pengalaman pertama untuk kami semua.

“Sudah tentu pengalaman dalam studio rakaman kami kenang sampai sekarang. Walau gementar, semua proses berjalan lancar,” ujarnya.

Lagu Permata yang dicipta Omar K dan Iqie Huges kini boleh didengar di semua pelantar digital, manakala video lirik pula boleh ditonton melalui YouTube FYP Media.

Sebagai permulaan, tiga episod yang sudah disempurnakan kini disiarkan pada Ahad, pukul 5 petang menerusi YouTube FYP Media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI