fbpx

Taiwan lumpuh dihentam Super Krathon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBATANG pokok tumbang ditiup angin Taufan Krathon di Kaohsiung hari ini. – AFP

TAIPEI –  Taufan Super Krathon tiba di selatan Taiwan hari ini, kata agensi meteorologi pulau berkenaan, selepas sekolah dan pejabat ditutup pada hari kedua ketika angin kencang dan hujan lebat menyebabkan dua orang terkorban dan lebih 100 lagi  cedera.

Krathon membawa tiupan angin selaju 162 kilometer sejam sejurus sebelum tiba di bandar pelabuhan Kaohsiung, selatan Taiwan, demikian  menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).

“Taufan ini tiba di daratan dekat daerah Xiaogang di Kaohsiung kira-kira  pukul 12.40 tengah hari (waktu tempatan),” katanya dalam catatan menerusi aplikasi pemesejan Line.

Semalam ketua CWA,  Cheng Chia-ping berkata, walaupun taufan itu dijangka lemah dengan cepat selepas tiba di daratan, penduduk Kaohsiung diminta berlindung.

“Akan ada angin pemusnah yang disebabkan oleh taufan (Krathon)  di kawasan ini. Berlindunglah secepat mungkin,” kata CWA dalam amaran yang dihantar lima kali pada telefon bimbit penduduk hari ini.

Datuk Bandar Kaohsiung, Chen Chi-mai  memberitahu pemberita bahawa bandar itu mengalami ‘angin paling kuat’ menjelang ketibaan Krathon.

“Kami menggesa penduduk tidak keluar rumah kecuali jika benar-benar perlu.

“Setakat ini, Kaohsiung telah merekodkan 356 kes bencana, kebanyakannya pokok tumbang dan papan tanda pengiklanan runtuh,” katanya.

Hujan lebat dan angin kencang yang melanda pulau itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut, dua lagi hilang dan 123 cedera, kata Agensi Bomba Kebangsaan.

Seorang lelaki berusia 70 tahun dikejarkan ke hospital kelmarin selepas terjatuh ketika memotong pokok di daerah Hualien, timur Taiwan. Mangsa meninggal dunia di hospital pada hari berikutnya.

Seorang lelaki berusia 66 tahun pula dimasukkan ke hospital di Taitung Isnin lepas selepas traknya melanggar batu besar yang  jatuh di atas jalan dan meninggal dunia semalam.

Sementara itu, semua penerbangan domestik digantung untuk hari kedua hari ini, manakala  kira-kira 240 penerbangan antarabangsa dibatalkan.

Di seluruh Taiwan pula, hampir 10,000 orang telah dipindahkan setakat hari ini, demikian  menurut kementerian dalam negeri. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI