fbpx

Muhyiddin tidak boleh bercuti ke luar negara, sambut ulang tahun perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk ke Uzbekistan bagi menyambut ulang tahun perkahwinannya.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.

Dalam keputusannya ketika memutuskan demikian, mahkamah bersetuju, dengan hujah pendakwaan bahawa alasan yang dikemukakan oleh pemohon (Muhyiddin) tidak mewajarkan mahkamah melepaskan passport tersebut kerana pemohon masih boleh bercuti atau meraikan apa-apa keraian di dalam negara.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan anak guamnya ingin mendapatkan sementara pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah bermula 4 hingga 14 Oktober ini.

Ini kerana anak guamnya perlu ke Uzbekistan untuk meluangkan masa bersama-sama isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-52 pada 22 September ini.

“Beliau dan isterinya juga ingin melakukan perjalanan singkat ke Uzbekistan sebagai bentuk rehat dari pelbagai cabaran yang dihadapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Antara cabaran tersebut termasuk tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dikenakan ke atasnya pada 27 Ogos lalu (di Mahkamah Gua Musang, Kelantan) serta keputusan yang telah disampaikan dalam permohonan semakan tersebut,” kata Hisyam.

Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat kemudian membantah permohonan itu kerana alasan yang diberikan oleh pihak pembelaan adalah tidak serius ataupun kritikal.

“Ini adalah satu alasan yang remeh. Percutian dan sambutan ulang tahun boleh dibuat di Malaysia. Dalam hal ini, keseriusan kesalahan perlu diambil kira.

“Saya memohon mahkamah menolak permohonan ini dan perlu pertimbangkan keseriusan pertuduhan dihadapi pemohon selain risiko flight risk (larikan diri),” kata Noralis.

Sebelum ini, media melaporkan, Muhyiddin, 77, didakwa menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn. Bhd. yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL antara 25 Februari dan 16 Julai 2021, serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Beliau juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac tahun lalu atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI