fbpx

[VIDEO] Lagi pengasuh didakwa abai bayi sehingga cacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Salwa diiringi anggota polis ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang bayi lelaki berusia setahun sehingga mangsa mengalami cacat kekal di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Pertam Jaya, Semabok, tahun lalu.

Tertuduh, Siti Salwa Rezuan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu pengasuh kepada seorang bayi lelaki berusia setahun telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira 2.30 petang di sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Oktober 2023.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Mohd. Nazri Abd. Hamid yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah sebanyak RM5,000 diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengasuh dengan gaji bulanan RM1,700, manakala suami seorang operator kilang.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Rohatul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati atau menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November ini.

Kosmo! pada 1 November tahun lalu melaporkan seorang bayi lelaki berusia setahun mengalami pendarahan di kepala selepas dihantar ke sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini.

Pemilik premis mendakwa bayi tersebut disedari berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika ingin dipakaikan pakaian dan kejadian dimaklumkan kepada bapa mangsa pada pukul 9.30 pagi.

Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Melaka oleh keluarganya untuk rawatan sebelum disahkan mengalami pendarahan di kepala.

Bayi lelaki itu sebelum ini dikatakan pernah mengalami kecederaan lebam pada pipi kanan dan dahi sebelah kiri selepas dihantar ke pusat jagaan sama.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri kemudian menyita taska berkenaan selepas mendapati ia tidak didaftarkan mengikut kepada alamat baharu premis dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Sementara itu, bapa mangsa berusia 31 tahun ketika dihubungi pemberita hari ini memaklumkan, susulan kejadian itu anaknya kini mengalami cacat kekal dan dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, bayinya hanya terlantar dan terpaksa diberikan makanan dan minuman melalui tiub. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI