fbpx

100 saintis Malaysia bersedia turun pedalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan seramai 100 saintis Malaysia bersedia turun padang.

PETALING JAYA – Seramai 100 saintis Malaysia telah bersedia untuk melibatkan diri secara langsung dengan masyarakat desa dan pedalaman.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan golongan muda di kawasan berkenaan untuk lebih tertarik dengan bidang inovasi, sains dan teknologi.

“Malaysia semakin serius dalam usaha mendekatkan bidang sains, inovasi dan teknologi kepada golongan muda di kawasan desa dan pedalaman.

“Saintis kita akan turun padang bagi menarik minat mereka terhadap penemuan baharu dan teknologi yang bermanfaat sekali gus memastikan tiada golongan yang tercicir dalam kemajuan teknologi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lih Kang berkata, melalui program itu, golongan muda di desa dan pedalaman akan diberi pendedahan tentang bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan penemuan saintifik lain yang mampu membuka peluang untuk masa depan yang lebih cerah.

Ujar beliau, inisiatif itu bukan sekadar mendekatkan mereka dengan sains dan teknologi, tetapi juga satu langkah penting untuk mengurangkan jurang inovasi antara bandar dan desa.

Jelas beliau, usaha itu akan memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat yang sama dalam era digital dan AI sekali gus menyumbang kepada pencapaian negara dalam inovasi dan pengkomersialan.

“Saya yakin dengan kerjasama saintis kita dan semangat daya cipta Madani, kita mampu membawa lebih banyak penemuan dan teknologi kepada generasi muda di seluruh negara.

“Ini adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia terus maju dalam bidang sains dan teknologi serta menjadi negara yang berdaya saing di peringkat global,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI