fbpx

‘Boleh membahan rakan hos tetapi bincang dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faizal menasihatkan mana-mana hos agar tidak berketerlaluan dalam soal 'membahan' rakan hos.

KUALA LUMPUR – Variasi dalam penyampaian, pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail mengakui pernah menjadikan rakan hos sebagai bahan jenaka ketika mengacarakan Anugerah Juara Lagu (AJL) suatu ketika dahulu.

Pun begitu, Faizal atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Ismail, 48, berkata, gurauan bersama teman gandingan sudah pun dirancang awal bagi mengelakkan berlaku salah faham selain enggan ada pihak berkecil hati.

“Zaman saya berada di pentas mengacarakan AJL, pada masa itu kita pun ada juga ‘membahan’ sesama saya, Cheryl dan Ally tetapi semuanya sudah dirancang maknanya setakat mana mereka boleh terima (gurauan).

“Jadi apa berlaku di atas pentas masing-masing gembira dan tiada masalah tetapi saya lihat dalam keadaan sekarang ada pihak yang tak puas hati. Mungkin mereka menggunakan platform itu untuk menyindir atau sekadar mahu bergurau.

“Bila dua-dua pihak tidak berada di tempat sama, boleh jadi satu lagi pihak itu berkecil hati dan tak boleh terima gurauan itu. Kita tak boleh salahkan dia juga,” katanya kepada Kosmo! Online pada pada sidang media program Borak SeeNI, di sini, baru-baru ini.

Sedar dengan isu terkini, Faizal berpendapat bahawa rakan pengacara terbabit mungkin menjadikan ‘pertengkaran’ di atas pentas sebagai publisiti untuk meraih perhatian penonton.

Bagaimanapun, hal tersebut mungkin bakal mendatangkan risiko kepada pengacara berkenaan yang akhirnya menerima impak negatif dan kecaman daripada netizen.

“Bagi saya, sekiranya kontroversi ini dirancang dan dua-dua pihak bersetuju untuk publisiti, itu akan menimbulkan risiko di mana satu pihak akan dipandang baik dan pihak lagi satu dikeji.

“Netizen tidak faham kerana mereka akan menyebelahi kepada siapa mereka mahukan.

“Saya rasa yang akan menjadi risiko adalah hos lama kerana hos baru tengah meningkat naik pasti yang lama akan menjadi bahan kecaman,” ujarnya.

Faizal bagaimanapun menasihati rakan artis menunjukkan contoh baik kerana mereka sering dijadikan rujukan masyarakat.

Tambahnya lagi, selebriti turut memainkan peranan penting kepada masyarakat untuk dijadikan contoh teladan murni kepada orang ramai.

“Sebagai seorang selebriti kita kena tunjukkan contoh baik kerana sering dijadikan rujukan. Ada orang memandang kita sebagai idola terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Jangan rasa peranan selebriti itu tidak penting. Jadi saya minta hanya paparkan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Paling penting ujarnya, dia sedar semua orang mempunyai sisi tidak baik tetapi janganlah ditonjolkan atau diwar-warkan kepada umum. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI